Tentang Kami

Tengku Mahmood  Mahyiddeen 

Namanya kian dilupakan oleh generasi masa kini. Mungkin segelintir  insan  yang masih mengenang jasa-jasanya ialah mereka yang pernah belajar di Maktab Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Zainab yang diasaskan oleh  putera raja ini, ataupun   barangkali warga Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin yang mengabadikan nama wira berkenaan sebagai ikon  institusi mereka. Namun bagi mereka yang mengikuti perkembangan sejarah nama Tengku Mahmood Mahyiddeen masih segar dalam ingatan sebagai wira atau idola dalam pelbagai bidang. Mereka yang bergerak aktif dalam kegiatan koperasi, khususnya anggota Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad,  masih mengenang jasa Putera Raja Patani   ini sebagai tokoh yang mengasaskan koperasi yang dikendalikan oleh guru-guru Melayu di negeri Cik Siti Wan Kembang.

 

Tengku Mahmood Mahyiddeen  telah dilahirkan di Istana Chabang Tiga, Patani pada 30 Ogos 1908. Ayahandanya bernama Tengku Abdul  Kadir Kamaruddeen  merupakan  raja yang terakhir memerintah negeri Melayu Patani sebelum Kerajaan Siam menjajah dan mengambil alih negeri itu pada tahun 1902. Bondanya  Che Maimunah ialah anak kelahiran Kelantan. Selepas dilahirkan beliau dan ibunya berpindah ke Kota Bharu dan tinggal di Istana Tengku Seri Akar. Ketika berumur empat tahun beliau telah dibawa balik ke Patani oleh ayahandanya apabila bondanya meninggal dunia.  Apabila usianya memasuki alam persekolahan Tengku Mahyiddeen berpindah semula ke Kota Bharu. Di sini beliau telah dibesarkan oleh ayahandanya dalam suasana masyarakat biasa supaya menjadi seorang yang berguna kepada bangsanya  -  bukan lagi sebagai seorang kerabat diraja.

 

Tengku Mahmood mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Agama Islam Kelantan, Kota Bharu sebelum dihantar oleh  ayahandanya ke Bangkok pada 1920 untuk melanjutkan pelajaran di Royal Assumption College selama tiga tahun.  Ketika berumur 15 tahun beliau berpindah ke Government English School, Pulau Pinang sebelum memasuki Penang Free School pada tahun 1926. Tengku Mahmood ternyata seorang pelajar yang pintar apabila  lulus peperiksaan Senior Cambridge dengan cemerlang pada tahun 1928 hingga ditawarkan biasiswa Kerajaan British untuk belajar  dalam bidang perubatan di King Edward VII Medical College, Singapura.

 

Namun tawaran tersebut ditolak oleh Tengku Mahyiddeen. Beliau pulang ke Kota Baharu bagi menunaikan permintaan ayahandanya  menguruskan harta  keluarga.  Dengan berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dalam pendidikan Islam, Siam dan Inggeris, beliau terus melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan kemahiran terutama dalam bidang keusahawanan. Tengku Mahyiddeen memilih untuk menjalankan perniagaan mengedarkan basikal berjenama ’mead’ yang diimpot daripada England. Pada masa itu memiliki sebuah basikal terutama berjenama ’mead’ adalah menjadi kemegahan penduduk Kota Bharu. Perniagaannya cukup laris dan kedainya yang diberi nama ’Kedai Kita’ yang terletak di Jalan Sultanah Zainab (berhampiran dengan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri sekarang) sentiasa dikunjungi orang ramai.

 

Nama Tengku Mahmood Mahyiddeen mula dikenali ramai sebagai anak keluarga bangsawan yang pertama menceburi bidang perniagaan. Kehebatannya berbahasa Inggeris membolehkan Tengku Mahyiddeen berdamping mesra dengan  pegawai-pegawai tadbir Inggeris. Perniagaan basikalnya semakin laris apabila beliau   berjaya meyakinkan mereka  supaya menyediakan basikal buatan England ini  untuk kegunaan kakitangan jabatan kerajaan seperti Jabatan Pos dan sebagainya,  menjalankan tugas. 

 

Kejayaan perniagaan ’Kedai Kita’ mendorong Tengku Mahyiddeen  membuka sebuah lagi kedai bernama ”Tengku Mahmood Mahyiddeen General Importer, Stationer, Commission and Newsagent”  sebagai pengimport, pembekal dan  pengedar pelbagai jenis barangan termasuk beras dan garam di sekitar negeri Kelantan dan Terengganu.

Walaupun amat  sebok menguruskan perniagaannya beliau gemar  berbasikal bersiar-siar di sekitar Kota Bharu sambil memerhati dan mengamati keadaan kehidupan masyarakat Melayu. Mereka menjalani kehidupan  yang serba kekurangan akibat dihimpit kemiskinan. Hal ini menimbulkan kesedaran  dan keinsafan akan bentuk kehidupan sebenar kaum bangsanya yang terjajah dan tertindas di bumi Kelantan. Beliau yang  kerap ke Patani untuk menziarahi saudara maranya juga  dapat menyaksikan  bagaimana orang-orang Melayu Patani hidup penuh derita dibelengu kemiskinan dan kesengsaraan akibat dijajah oleh  Kerajaan Siam. Apa yang dilihatnya amat  menghiris hati dan perasaannya.    Walaupun pada masa itu beliau telah menjadi kerabat diraja Kelantan setelah berkahwin dengan Tengku Zainab, adinda kepada Sultan Kelantan  iaitu Sultan Ismail  pada tahun 1930, Tengku Mahyiddeen masih berjiwa rakyat dan sentiasa berhasrat dan  berusaha untuk membantu meringankan beban hidup masyarakat Melayu Kelantan dan Patani melalui kegiatan-kegiatan kemasyarakatan.

 

Tengku Mahyiddeen juga  banyak menerima maklumat tentang keadaan hidup masyarakat Kelantan melalui para pelanggannya yang datang berkunjung di kedua-dua kedai yang diusahakannya. Mereka ini daripada  pelbagai lapisan dalam masyarakat seperti petani, buruh dan kakitangan kerajaan termasuk guru-guru. Ramai guru-guru Melayu yang datang bukan sahaja  untuk membeli belah tetapi juga untuk bertemu Tengku Mahyiddeen yang dipandang sebagai orang muda yang terpelajar dan bijaksana,  bagi mendapatkan nasihat dan pandangan dalam pelbagai realiti kehidupan  termasuk hal-hal yang berkaitan dengan  pelajaran anak bangsa dan juga bagaimana tahap ekonomi guru-guru boleh dipertingkatkan. 

Pada masa itu kakitangan kerajaan termasuk guru-guru menghadapi kesusahan dan kesempitan hidup ekoran dari penerimaan gaji bulanan yang rendah. Desakan hidup  memerlukan mereka meminjam atau berhutang tetapi ketika itu perkhidmatan institusi kewangan seperti  bank amat asing bagi mereka. Yang ada  ialah ’along’ pada zaman  itu iaitu ceti-ceti haram yang bermaharajalela memberikan pinjaman mudah tetapi  mengambil kesempatan dengan mengenakan bunga atau kadar  faedah  yang amat tinggi. Penindasan seperti ini menyebabkan hidup  mereka semakin menderita  akibat menanggung hutang seumur hidup.

Tengku Mahyiddeen amat bersimpati dengan  nasib guru-guru dan menasihatkan pemimpin-pemimpin mereka supaya menubuhkan koperasi guru dalam usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka. Beliau menawarkan ’Kedai Kita’ iaitu kedai basikalnya sebagai pusat untuk perbincangan dan permuafakatan. Pada masa itu mereka belum begitu faham tentang konsep berkoperasi walaupun koperasi pertama telah mula ditubuhkan pada tahun 1922 dan di sekitar tahun 30an sudah ada 150 koperasi di Tanah Melayu termasuk beberapa buah di Kelantan. Atas bimbingan Tengku Mahyiddeen mereka telah mula nampak faedah dan manfaat gerakan koperasi dan berazam untuk menubuhkannya.

Hubungan beliau dengan kaum guru semakin rapat selepas dilantik sebagai Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Kelantan pada tahun  1933. Beliau nampak lebih jelas tentang masalah yang dihadapi oleh guru-guru Melayu. Pada hari mereka menerima gaji di sekolah pada setiap hujung bulan, Tengku Mahyiddeen dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana mereka seperti dikepung oleh ceti-ceti  yang datang untuk mengutip hutang. Tengku Mahyiddeen tidak jemu-jemu menasihati guru-guru supaya sentiasa berjimat cermat, mengurangkan tabiat berhutang dan bermuafakat untuk menubuhkan koperasi guru. Beliau bimbang jika guru-guru terus menghadapi kesempitan hidup, mereka tidak akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anak bangsa yang masih jauh ketinggalan dalam pelajaran. 

Oleh kerana kaum guru masih belum mampu untuk mendirikan koperasi mereka sendiri, Tengku Mahyiddeen menggalakkan mereka  menganggotai sebuah koperasi yang baru ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk kakitangan kerajaan iaitu     ’The Kelantan Government Servants’ Co-Operative Thrift and Loan Society Limited Kota Bharu’. Ramai juga guru-guru yang menyertainya terutama dalam kalangan pemimpin-pemimpin guru bagi mendapatkan pengalaman berkoperasi sebelum berpeluang membuka koperasi mereka sendiri. Banyak aktiviti yang diatur oleh Tengku Mahyiddeen untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran tentang koperasi.

Pada tahun 1938 Tengku Mahmood Mahyiddeen telah dilantik sebagai Penguasa Pendidikan Negeri Kelantan atau ‘Superintendent of School’, anak Melayu  pertama di Tanah Melayu memegang jawatan tersebut. Walaupun sangat sebok dengan tugas barunya beliau tidak pernah lupa  tanggung jawabnya untuk meningkatkan taraf hidup guru-guru dalam usahanya untuk melahirkan generasi Melayu yang berilmu dan berpendidikan tinggi melalui sistem pendidikan yang lebih berkualiti. Pada tahun itu juga beliau telah mendorong dan membimbing guru-guru untuk menubuhkan sebuah koperasi yang dinamakan  ‘Sharikat Guru2 Melayu Kelantan Bekerja Sama-Sama Kerana Jimat Chermat dan Pinjaman Wang Dengan Tanggongan Berhad’ atau  “The Kelantan Malay Gurus’ Co-Operative Thrift & Loan Society Limited”, dengan menjadikan KEDAI KITA milik Tengku Mahyiddeen, sebagai pejabat untuk beroperasi.

 

Tengku Mahyiddeen banyak membantu  dalam usaha-usaha mempromosi guru-guru supaya menjadi ahli semasa beliau melawat sekolah atau semasa  bertemu mereka dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh  Jabatan Pelajaran Negeri. Kemudahan pertama yang diberikan oleh koperasi kepada ahli-ahli ialah pinjaman daripada jumlah yuran yang tersimpan bagi tujuan  membaiki rumah, membeli basikal, membiayai kenduri kahwin, membeli tanah dan sebagainya.  Dalam masa hampir dua tahun penubuhannya modal terkumpul  adalah sebanyak RM 5,687.34 dengan keahlian seramai 122 orang. Akhirnya pada 11 September 1940 Koperasi Guru   telah didaftarkan dengan rasminya. The rest is history......, kata orang Inggeris. Koperasi Guru terus berkembang maju sehingga kini dan telah mencapai usia 70 tahun pada 11 September 2010. Satu perkara yang kita semua harus insafi: tanpa dorongan, galakan, bimbingan dan tunjuk ajar  Tengku Mahmood Mahyiddeen,  Koop Guru  ada kemungkinan besar tidak  wujud di muka bumi ini.

 

Sesungguhnya jasa Tengku Mahyiddeen kepada negara khususnya negeri Kelantan amat besar sekali. Beliau pernah menerajui Persatuan Dewan Bahasa Melayu Kelantan,  menubuhkan Persatuan St. John Ambulance Kelantan, menjadi Pesuruhjaya Pengakap Kelantan dan mengetuai Pengakap Kelantan ke jambori antarabangsa di Australia pada tahun 1934. Beliau juga terlibat secara langsung dalam  mendirikan sekolah Inggeris pertama di Kelantan iaitu Maktab Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Zainab pada tahun 1936. Tengku Mahyiddeen pernah menyertai Pasukan Sukarelawan Kelantan dan berada di barisan hadapan bersama tentera British menentang pendaratan 5,600 tentera Jepun di Pantai Sabak pada 8 Disember 1941. Akhirnya tentera Jepun berjaya menguasai Kota Bharu dan seterusnya  Tanah Melayu 70 hari kemudian. Keadaan ini memaksa Tengku Mahyiddeen berundur bersama tentera British ke Singapura dan akhirnya berlindung di India. Dalam pelayaran ke India beliau hampir terbunuh bersama berpuluh-puluh tentera British apabila kapal perang s.s Kuala yang dinaikinya diserang oleh jet-jet pejuang tentera udara Jepun. 

 

Di India Tengku Mahyiddeen  telah bertugas di Radio India  mengelolakan Bahagian Melayu. Antara rancangan yang dikelolakannya  ialah ‘Suara Harimau Malaya’ yang dipancarkan  ke Tanah Melayu dan selatan Siam berbentuk propaganda anti-Jepun. Di sinilah  beliau mendapat gelaran  Harimau Malaya daripada pegawai-pegawai tentera British dan rakan-rakannya yang turut berada di India seperti Hussain Onn (mantan Perdana Menteri Malaysia), Suffian Hashim (mantan Ketua Hakim Negara) dan Ibrahim Ismail (mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia). Gelaran berkenaan menggambarkan semangat perjuangan yang  kental dan keberanian beliau menentang musuh yang mengancam tanah airnya.

 

Kehebatan daya kepimpinan serta keberanian  Tengku Mahmood mahyiddeen memberi keyakinan  kepada Lord Louis Mountbatten, Panglima Tentera British di India,  untuk melantik beliau sebagai anak Melayu pertama menganggotai  pasukan bawah tanah British menentang Jepun yang dikenali sebagai ‘Force 136’. Beliau telah dikurniakan pangkat ‘Mejar’ pada tahun 1943 apabila dilantik  mengetuai Bahagian Melayu ‘Force 136’ di India. Di samping itu beliau terus berusaha untuk melepaskan Wilayah Patani daripada cengkaman penjajahan kerajaan Siam dengan menggunakan pengaruh Inggeris. Beliau kembali ke Tanah Melayu pada 1945. Minat beliau dalam bidang keusahawanan diteruskan dengan membuka dan mengusahakan PCB Resort.

 

Beliau telah menerima bintang kebesaran M.B.E daripada Kerajaan British pada 1946 walaupun terang-terang menentang penubuhan Malayan Union. Beliau juga mendapat gelaran Dato’ daripada Sultan Kelantan pada 1949. Tengku Mahyiddeen  juga telah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (1948), Ahli Mesyuarat Persekutuan mewakili Kelantan (1949), Ahli Dewan Mesyuarat Negeri Kelantan (1951) dan AJK Badan Penasihat Hal-Ehwal Pelajaran Kerajaan Tanah Melayu (1952). Beliau telah meninggal dunia  pada 12 Februari 1954 pada usia 45 tahun 6 bulan. Demikianlah riwayat hidup seorang pahlawan dan wira Melayu yang amat berjasa berjuang untuk mempertahankan tanah air dan berjuang untuk membebaskan orang-orang Melayu daripada belengu kemiskinan melalui kegiatan ekonomi dan juga melaui reformasi pendidikan yang pada masa itu  terikat dengan sistem dan fahaman tradisional.

 

Atas jasa-jasa  Tengku Mahmood Mahyiddeen sebagai penggerak utama dan pelopor bagi kemajuan Koperasi Guru-Guru Melayu Kelantan kami abadikan sejarahnya. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Kami telah berpindah ke:
Lot 2333, Bangunan Koop Guru
Padang Bongor,
Jalan Pengkalan
Chepa,
15400 Kota Bharu.

Senarai Calon Perwakilan Berjaya

Sila klik -->Disini

Jadual Mesyuarat Kawasan & Agung
Sila klik -->Disini

 

 

 

Harga Emas Ar-Rahn Koopguru

 16/04/2017    

Standard 

 Karat 

Nilai/Gram
(RM)  

 999  24K  189
 916  22K  173
 875  21K  170
 835  20K  158
 750   18K  142

 

Kami mempunyai 33 tetamu dan tiada ahli di talian